KISAH JANDA BAIK

<< BACK

Diceritakan oleh orang-orang tua, para ilmuan alam ghaib dan alam nyata.......

Pangkal bermula alkisah Janda Baik
Mencantumi dua alam
Alam ghaib beriwayat
Alam nyata dengan dahlil-dahlat

Dua makhluk berpasangan
Turun menjelma dari kayangan
Menzahir diri di alam nyata

Bukit bukau gunung ganang
Sungai tasik hutan belantara
Pelbagai cubaan pelbagai rintangan
Sepasang insan terus mengembara
Mencari ketenangan

Hinggalah sampai di satu lembah
Bumi terhampar di tengah belantara
Bukit di Selatan, bukit di Utara
Dua sungai mengalir di tepi desa

Di celah bukit taman terindah
Dipenuhi anggerik desa
Bunganya kuning diraja
Di sinilah penghujung jalan pengembara

Taman Anggerik Si Desa Kuning
Itulah nama yang diberi
Di sinilah menetap suami isteri
Sebagai manusia di muka bumi
Mengguna nama Khatijah dan Al Bukhari

Alkisah diriwayatkan para ilmuan alam ghaib........

Khatijah dari Utara
Bukhari dari Selatan
Bertemu jodoh di Barat
Di Timur berpasangan

Bertahun mereka bersama
Setiap saat berdoa
Agar dikurniakan cahayamata
Zuriat penyambung warisan

Sudah tersirat Khatijah dan Al Bukhari
Sepasang makhluk suami isteri
Tiada putera, tiada puteri
Allah yang maha mengtahui

Khatijah dan Al Bukhari terima hakikat
Lalu berdua bermuafakat
Turun ke bumi membawa hajat
Menabur bakti kepada sejagat

Hatta, Khatijah dan Al Bukhari sebagai insan biasa.....

Di Taman Anggerik Si Desa Kuning
Udara nyaman, suasana hening
Disinilah tempatnya Khatijah dan Al Bukhari
Saling sayang menyayangi
Tinggal di bumi menabur bakti
Anak-anak yatim Melayu dan Asli
Dijaga diasuh bak anak sendiri

Siang hari Al Bukhari ke hutan mencari kayu api
Sumber rezeki
Di malam hari mengajar agama Ilahi
Masa lapang dipenuhi doa, zikir berzanji
Itulah aktiviti setiap hari
Mencari restu Ilahi

Bertahun tahun dua jelmawan dari kayangan
Khatijah dan Al Bukhari
Tinggal di Taman Anggerik Si Desa Kuning
Hidup gembira penuh kasih sayang
Hormat menghormati
Susah sama dirasai
Senang sama dinikmati
Mendidik yatim piatu pengganti anak sendiri

Suatu hari Al Bukhari jatuh sakit
Mulanya demam-demam, batuk-batuk
Kemudian melarat lemah lunglai seluruh anggota
Hilang nafsu makan minum
Hilang keinginan berkata-kata
Tetapi hati kuat berdoa
Memohon keredzaan Yang Esa

Dirasainya masa hampir tiba
Iakan pulang ke Maha Pencipta
Khatijah berwajah hiba
Bergelora jiwa menahan airmata
Bibir tersenyum melindungi seribu perasaan
Anak-anaknya berkeliling membaca ayat-ayat Quraan
Memudahkan perjalanan ayahnda tersayang

Kepada Khatijah Al Bukhari berpesan.....

Kanda akan pergi mendahului adinda
Jagalah dan didiklah anak-anak kita
Hingga menjadi insan mulia
Penuhkan dada mereka dengan pengtahuan agama
Akhlak mulia, tertib cara, bersopan hahasa
Tabahlah hati adinda, berdoalah sentiasa
Allah bersama adinda

Al Bukhari memejam mata
Mengucap dua kalimah syahadat
Tangannya mengemas tangan Khatijah....

Khatijah terima cabaran
Hidup sebagai seorang janda
Di tengah hutan belantara
Tabah hati cekal setia
Menetapi pesanan arwah kekanda

Razki berada di mana sahaja
Khatijah bersyukur dengan apa yang ada
Allah tetap bersama

Khatijah berhati mulia
Sentiasa sedia membantu
Siapa saja yang memerlu
Anak-anak turut bersama
Menghadiah tenaga meringan kerja

Anak-anak jagaan kian membesar
Akhlak mulia kian menyerlah
Iman di dada kian terpahat
Tutur bicara kian beradat

Khatijah bersyukur pada Ilahi
Janji kepada arwah suami dipenuhi

Suatu hari Khatijah berpesan kepada anak-anaknya....

Kamu semua sudah cukup dewasa
Kuatkan iman mu
Tolong yang berkehendak
Tabur bakti kepada masyarakat
Sentiasa tolong menolong antara kamu
Ingatlah.
Tuhan sentiasa bersama mu

Khatijah tenung setiap orang
Sambil bibir mengukir salam
Terus keluar ke taman
Pulang ke kayangan.....

Kini gelaran jadi sebutan....

Taman Anggerik Si Desa Kuning
Tempat tinggal Khatijah dan Al Bukhari
Dari kayangan turun ke bumi
Sebagai insan pekerti
Disanjung, dihormati, disegani

Nama Khatijah merbak wangi
Sebagai janda baik berjiwa murni
Sebagai janda baik pekerti
Sebagai janda baik berhati mulia
Sebagai janda baik tertib bahasa

Taman Anggerik Si Desa Kuning
Namanya lenyap bersama Khatijah
Yang tinggal hanya gelaran
JANDA BAIK jadi sebutan

Nota: Mengikut beberapa ahli tilik dan para ilmuan alam ghaib, tempat asal Taman Anggerik Si Desa Kuning ialah dalam kawasan yang kini bernama Sailor.s Rest. Wallahu allam.